Thursday, 15 October 2015

PENERANGAN

PENERANGAN
Umumnya, kejuruteraan genetik membawa maksud sebarang teknologi pengubahsuaian genetik deoxyribonucleic acid (DNA) sesuatu organism. Ianya merangkumi pemindahan DNA yang berguna dalam sesuatu organisma ke dalam organism yang lain. Kejuruteraan genetik bukanlah satu fenomena baru untuk diperkatakan. Kejayaan dalam bidang sains telah membuka ruang untuk penyelidik meneroka bidang ini. Sarjana Islam telah memberikan pelbagai reaksi terhadap isu kejuruteraan genetik ini. Ada yang memberi reaksi positif dan ada juga negatif
Kejuruteraan genetik telah memberi banyak sumbangan dalam perkembangan teknologi terutama dalam bidang bioteknologi, perubatan dan pertanian. Penemuan langkah rawatan yang efektif, pembangunan farmaseutikal dan penemuan vaksin dalam bidang perubatan telah membuktikan kejuruteraan genetik mampu membantu manusia dalam kehidupan. Bidang pertanian pula mengaut keuntungan yang lumayan apabila hasil tanaman dan haiwan ternak membuahkan hasil yang banyak. Peningkatan jumlah pengeluaran ini adalah hasil daripada tumbuhan transgenik, iaitu organisma diubah suai secara genetik (genetically modified organism (GMO)).

Terdapat juga makanan yang diubah suai secara genetik (genetically modifed food (GMF)) dan ianya juga boleh meningkatkan tahap nutrisi sesuatu makanan, selain dari pengeluaran produk yang mudah dan meningkatkan hasil produk. Beberapa teknik yang terdapat dalam kejuruteraan genetik ini seperti penggabungan DNA, dan pengklonan pembiakan dan pengklonan terapeutik telah diaplikasikan. Potensi cerah bidang kejuruteraan genetik ini mendorong para saintis barat melakukukan kajian intensif dan mendalam tanpa memikirkan isu etika dan moralnya. Melalui kerja kursus ini kami dapat membincangkan mengenai kedudukan hukum dan aplikasi kejuruteraan genetik dalam kehidupan khususnya dalam masyarakat Islam. Pembincangan ini  memfokuskan kepada aplikasi kejuruteraan genetik menurut kaca mata maqasid syariah. Selain itu, turut dibincangkan kebaikan dankeburukan kejuruteraan genetik dalam bioteknologi menurut islam.

KEJURUTERAAN GENETIK DALAM BIDANG PERTANIAN

Ø Kejuruteraan genetik dalam bidang pertanian .

·         Kebaikan
Penggabungan semula DNA (DNA Recombinant) merupakan salah satu cabang bioteknologi moden yang termasuk dalam bidang kejuruteraan genetik. Proses ini membolehkan seseorang untuk memilih DNA yang menjadi ciri spesifik sesuatu organisma dan digabungkan dengan genom organisma lain. Proses ini juga membolehkan seseorang untuk memilih gen yang memberi ciri yang baik dan menyingkirkan gen yang membawa ciri tidak baik pada sesuatu organisma.

Ribuan tahun dahulu, petani mengamalkan pembiakan terpilih untuk menghasilkan tanaman yang berkualiti tinggi dan banyak. Hal ini dilakukan dengan memilih benih tumbuhan yang terbaik sahaja untuk diusahakan. Kaedah tradisional mula mengalami perubahan sejak tahun 1980-an yang mana para saintis mula menggunakan kejuruteraan genetik pada tumbuhan dan tanaman. Jurutera genetik mampu melakukan pembiakan terpilih jauh lebih baik daripada petani terdahulu dengan cara mengambil gen yang baik dari suatu spesies dan menggabungkannya dengan genom spesies lain untuk menghasilkan tanaman yang lebih bermutu tinggi. Tanaman-tanaman ini dikenali sebagai tanaman transgenik Contohnya, penghasilan tomato yang tahan lama, lambat lembik dan kekal segar (Fridell, 2006).

 Tanaman transgenik ini dihasilkan untuk meningkatkan hasil produktiviti pertanian dari dua sudut, kualiti dan kuantiti. Aplikasi penggabungan DNA ini membawa banyak manfaat seperti ciptaan tanaman baru yang mempunyai daya tahan yang tinggi terhadap serangga perosak dan racun serangga perosak, memperbaharui nilai nutrisi dalam hasil tanaman dan makanan yang terhasil daripadanya dan berupaya hidup dalam kondisi berbeza. Penemuan ini sekali gus turut memberi keuntungan yang berlipat ganda kepada para petani.











·         Keburukan
Sumbangan salah satu cabang kejuruteraan genetik ini dalam penambahbaikkan sektor pertanian dan sumber makanan tidak dapat dinafikan.Walau bagaimanapun, ramai pengguna, pencinta alam sekitar dan para saintis sendiri menyatakan bantahan mengenai kebimbangan kesan jangka pendek dan kesan jangka panjang produk penggabungan DNA ini terhadap tahap keselamatan makanan.
Kajian yang dijalankan oleh Michigan State University juga mendapati tanaman yang melalui proses GM dan GE bagi melindungi daripada virus akan mengakibatkan virus tersebut bermutasi kepada suatu bentuk baru lebih berbahaya dan berupaya menyerang spesis tumbuhan dan hidupan lain.

Dalam Islam, umatnya amat digalakkan untuk mencipta kemajuan untuk memudahkan kehidupan manusia keseluruhannya. Walaupun begitu, setiap teknologi yang dihasilkan mestilah bersandarkan undang-undang dan etika dalam Islam seperti yang digariskan dalam Al-Quran dan Sunah. Berdasarkan hakikat ini, tindakan memindahkan dan menggabungkan DNA ini merupakan tindakan “seumpama Tuhan”. Perubahan dan kemajuan dalam bidang ini tidak dapat diterima oleh sebahagian ahli agama kerana mereka berpendapat ia seperti mencampuri urusan Tuhan.

Islam tidak menghalang sebarang kemajuan yang dilaksanakan umatnya dengan syarat kemajuan tersebut dilaksanakan dengan baik. Selain dari menikmati manfaat dari hidupan lain, semua sumber alam lain haruslah dijaga dan tidak dimusnahkan. Hal ini sepertimana firman Allah SWT

Terjemahan: Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi setelah (diciptakan) dengan baik. Berdoalah kepada-Nya dengan rasa takut dan penuh harap.Sesungguhnya rahmat Allah sangat dekat kepada orang yang berbuat kebaikan. (Al-A’raf, 7: 56)





Di dalam Al-Quran, ditegaskan bahawa Allah SWT sahaja yang berkuasa mencipta dan mengawal segalanya di dunia ini. Semua ciptaan Allah ini merupakan tanda-tanda kewujudan dan kebesaran Allah SWT.


Terjemahan: Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan pergantian malam dan siang terdapat tandatanda (kebesaran Allah) bagi orang yang berakal. (Ali‘Imran, 3: 190)

Kemajuan dalam kejuruteraan genetik ini membuatkan sesetengah orang mendakwa bahawa mereka mempunyai keupayaan memanipulasi benda hidup. Hakikat sebenar dalam Islam telah menegaskan bahawa manusia tidak mampu mencipta walau serangga sekecil lalat walaupun para saintis bekerjasama melakukannya. Mereka tidak mempunyai kuasa untuk melakukannya tanpa izin Allah SWT. Firman Allah SWT:

Terjemahan: Wahai umat manusia, Inilah diberikan satu misal perbandingan, maka dengarlah mengenainya Dengan bersungguh-sungguh. sebenarnya mereka Yang kamu seru dan sembah, Yang lain dari Allah itu, tidak sekali-kali akan dapat mencipta seekor lalat Walaupun mereka berhimpun beramai-ramai untuk membuatnya; dan jika lalat itu mengambil sesuatu dari mereka, mereka tidak dapat mengambilnya balik daripadanya. (Keduaduanya lemah belaka), lemah Yang meminta (dari mendapat hajatnya), dan lemah Yang diminta (daripada menunaikannya). (Al-Hajj, 22: 73)


KEJURUTERAAN GENETIK DALAM PERUBATAN

Ø Kejuruteraan genetik dalam perubatan

Pengklonan pembiakan (Reproductive Cloning) merupakan pembiakan secara asexual, iaitu hanya memerlukan satu sahaja benih iaitu ovum untuk membiak. Pengklonan pembiakan ini boleh dilakukan melalui dua cara iaitu pembelahan embrio dan pemindahan nukleus . Antara kejayaan yang terbaru dalam bidang pengklonan manusia adalah kelahiran bayi perempuan pertama Eve, hasil daripada kaedah pengklonan. Saintis yang bertanggungjawab dalam usaha ini, Brigitte Boisselier, juga merupakan Presiden Clonaid mengumumkan kelahiran bayi tersebut pada 26 Disember 2002. Kaedah yang digunakan ialah teknologi pemindahan nukleus. Nukleus seorang wanita yang berusia 31 tahun telah digunakan kemudian disenyawakan dengan sel yang tiada nukleus. Hasil persenyawaan ini kemudian ditempatkan ke dalam rahim wanita tersebut untuk proses tumbesaran secara normal (Knoppers, 2003). Pengklonan pembiakan telah menimbulkan pelbagai reaksi dari pelbagai pihak. Antara pihak yang tampil ke hadapan adalah sarjana Islam, aktivis etika, dan ramai lagi.

Majoriti ulama telah memfatwakan bahawa pengklonan pembiakan adalah haram di sisi Islam. Terdapat beberapa aspek yang dipersetujui yang membawa kepada pengharaman ini iaitu dari segi akidah, status manusia yang diklon, pembahagian harta pusaka dan perwalian dalam pernikahan. Terdapat banyak pertelagahan mengenai pengklonan pembiakan ini terutama dari segi akidah yakni keyakinan teguh terdapat Allah SWT sebagai pencipta. Ada pendapat mengatakan ianya seperti mempermainkan Tuhan. Ini kerana ianya seperti mahu mencabar Allah sebagai pencipta (al -Khaliq), sesuai dengan firman Allah dalam surah al Furqan ayat ke-54:

Terjemahan: Dan Dialah Tuhan Yang menciptakan manusia dari air mani, lalu dijadikannya (mempunyai) titisan baka dan pertalian keluarga (persemendaan); dan sememangnya Tuhanmu berkuasa (menciptakan apa jua Yang dikehendakiNya). (al- Furqan, 25: 54)







Selain itu, mudarat yang akan dihadapi juga akan melebihi manfaat yang diterima. Terdapat banyak bukti yang menunjukkan pengklonan manusia merupakan pembaziran penggunaan embrio dan fetus. Sebagai contoh, Dr. Woo Suk Hwang dari Universiti Kebangsaan Seoul, Korea Selatan dan rakannya telah mengklon blastosis manusia buat pertama kali (Huwang WS, 2004). Mereka telah menggunakan 242 telur (ovum) daripada 16 wanita dan menghasilkan 30 embryo. Malangnya, hanya satu sel induk yang berjaya dihasilkan (Picher HR). Jika perkara sebegini dibiarkan tanpa sekatan, penyalahgunaan wanita yang sudi menjual benihnya (ovum) akan berleluasa.

Jika perkara sebegini dibiarkan tanpa sekatan, penyalahgunaan wanita yang sudi menjual benihnya (ovum) akan berleluasa. Selain itu, keguguran fetus dan kelahiran manusia yang tidak sempurna hasil daripada ujikaji akan meningkat. Perkara ini secara umumnya akan memberi kesan buruk kepada masyarakat (Browing F, 2004). Kebanyakan saintis tidak menyetujui cubaan untuk mengklon manusia selain menganggapnya sebagai perbuatan yang bahaya dan tidak bertanggungjawab (JanishR, 2001). Islam mengharamkan pengklonan pembiakan manusia kerana ianya melanggar fitrah kehidupan manusia. Hal ini sesuai dengan firman Allah dalam surah Al-Tin ayat 4:

Terjemahan: Sesunguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya. (al-Tin, 95: 4)


















Ayat ini menyatakan tentang ketinggian darjat manusia yang telah dinaikkan oleh Allah SWT. Oleh kerana itu tidak sewajarnya manusia dijadikan bahan penyelidikan. Selain itu, perkara ini juga akan menyebabkan wanita terutamanya akan merasakan bahawa mereaka tidak memerlukan lelaki untuk mendapatkan anak. Justeru, dalam keadaan ini institusi kekeluargaan yang dianjurkan Islam dalam kerangka membentuk masyarakat yang bertamadun tidak dapat direalisasikan di sini. Hal ini sedikit sebanyak mendorong perbuatan yang dilaknat Allah iaitu hubungan sesama jenis (Majdah, 2001). Perbuatan tersebut sudah tentu kemurkaan daripada Allah. Hal ini sesuai dengan firman Allah dalam al-Quran:

Terjemahan: Mengapa kamu mendatangi jenis laki-laki di antara manusia (perbuatan homoseks). Dan kamu tinggalkan perempuan yang diciptakan Tuhan untuk menjadi isteri-isteri kamu? Kamu memang orang-orang yang melampaui batas. (as-Syu’ara’, 26 : 155-156)


Kekeliruan mengenai status anak yang dilahirkan juga akan menjadi persoalan dalam menentukan sama ada anak yang dihasilkan adalah anaknya yang sebenar atau adalah kembar kepada dirinya. Hal ini berlaku kerana genetik mereka adalah sama dan tiada keaslian. Selain itu, penyelewengan juga akan berlaku jika pihak tidak bertanggungjawab melakukan aktiviti pengklonan ini. Mereka boleh mengklon artis yang terkenal, insan yang berpengaruh di dunia ini dan pelbagai lagi (Majdah, 2001). Selain itu, anak yang lahir hasil dari kaedah pengklonan juga akan kelihatan berbeza dari anak yang lahir hasil persenyawaan normal. Anak ini akan menghadapi pelbagai konflik dalam kehidupan dari segi hak, waris harta pusaka mahupun perkahwinan. Ini kerana anak klon tidak mempunyai bapa yang dari segi undang-undang. Permasalahan ini dikhuatiri akan menjejaskan keharmonian masyarakat (Fatwa Selangor, 2003).

KESIMPULAN

KESIMPULAN

Islam tidak melarang umatnya untuk terus maju dalam kehidupan. Apatah lagi jika kemajuan yang dikecapi dapat dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat. Namun begitu, pihak yang terlibat dalam menjalankan ujikaji dan penyelidikan khususnya dalam bidang kejuruteraan genetik ini diharap peka dengan prinsip-prinsip yang telah Allah tetapkan al-Quran dan juga ianya perlu selaras dengan tuntutan maqasid syariah.

Penyelidikan yang selari dengan agama perlu dipergiatkan dalam usaha untuk menghalang pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab melakukan kerosakan mengikut nafsu. Haiwan transgenik yang aneh khususnya kelihatan di luar tabie dihasilkan atas dasar penyelidikan oleh penyelidik-penyelidik yang tidak beriman ini. Umat Islam perlu sama-sama bangkit untuk menegakkan syariat Islam dalam bidang kejuruteraan genetik ini di samping keperluan menjaga kemaslahatan alam ini. Islam merupakan cara hidup yang cukup sempurna.


Dalam hal kejuruteraan genetik ini, Islam telah menggariskan panduan umum yang cukup lengkap untuk menjamin kemaslahatan manusia. Islam merupakan agama yang mudah. Namun begitu, ianya tidak bermakna yang ianya boleh diambil mudah. Islam menggalakkan umatnya melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran. Selagi sesuatu perkara itu mendatangkan manfaat kepada pembangunan umat Islam dan ianya tidak menyebabkan kemudaratan kepada sesiapa yang terlibat, ianya dibenarkan dalam Islam.