Thursday, 15 October 2015

KEJURUTERAAN GENETIK DALAM BIDANG PERTANIAN

Ø Kejuruteraan genetik dalam bidang pertanian .

·         Kebaikan
Penggabungan semula DNA (DNA Recombinant) merupakan salah satu cabang bioteknologi moden yang termasuk dalam bidang kejuruteraan genetik. Proses ini membolehkan seseorang untuk memilih DNA yang menjadi ciri spesifik sesuatu organisma dan digabungkan dengan genom organisma lain. Proses ini juga membolehkan seseorang untuk memilih gen yang memberi ciri yang baik dan menyingkirkan gen yang membawa ciri tidak baik pada sesuatu organisma.

Ribuan tahun dahulu, petani mengamalkan pembiakan terpilih untuk menghasilkan tanaman yang berkualiti tinggi dan banyak. Hal ini dilakukan dengan memilih benih tumbuhan yang terbaik sahaja untuk diusahakan. Kaedah tradisional mula mengalami perubahan sejak tahun 1980-an yang mana para saintis mula menggunakan kejuruteraan genetik pada tumbuhan dan tanaman. Jurutera genetik mampu melakukan pembiakan terpilih jauh lebih baik daripada petani terdahulu dengan cara mengambil gen yang baik dari suatu spesies dan menggabungkannya dengan genom spesies lain untuk menghasilkan tanaman yang lebih bermutu tinggi. Tanaman-tanaman ini dikenali sebagai tanaman transgenik Contohnya, penghasilan tomato yang tahan lama, lambat lembik dan kekal segar (Fridell, 2006).

 Tanaman transgenik ini dihasilkan untuk meningkatkan hasil produktiviti pertanian dari dua sudut, kualiti dan kuantiti. Aplikasi penggabungan DNA ini membawa banyak manfaat seperti ciptaan tanaman baru yang mempunyai daya tahan yang tinggi terhadap serangga perosak dan racun serangga perosak, memperbaharui nilai nutrisi dalam hasil tanaman dan makanan yang terhasil daripadanya dan berupaya hidup dalam kondisi berbeza. Penemuan ini sekali gus turut memberi keuntungan yang berlipat ganda kepada para petani.











·         Keburukan
Sumbangan salah satu cabang kejuruteraan genetik ini dalam penambahbaikkan sektor pertanian dan sumber makanan tidak dapat dinafikan.Walau bagaimanapun, ramai pengguna, pencinta alam sekitar dan para saintis sendiri menyatakan bantahan mengenai kebimbangan kesan jangka pendek dan kesan jangka panjang produk penggabungan DNA ini terhadap tahap keselamatan makanan.
Kajian yang dijalankan oleh Michigan State University juga mendapati tanaman yang melalui proses GM dan GE bagi melindungi daripada virus akan mengakibatkan virus tersebut bermutasi kepada suatu bentuk baru lebih berbahaya dan berupaya menyerang spesis tumbuhan dan hidupan lain.

Dalam Islam, umatnya amat digalakkan untuk mencipta kemajuan untuk memudahkan kehidupan manusia keseluruhannya. Walaupun begitu, setiap teknologi yang dihasilkan mestilah bersandarkan undang-undang dan etika dalam Islam seperti yang digariskan dalam Al-Quran dan Sunah. Berdasarkan hakikat ini, tindakan memindahkan dan menggabungkan DNA ini merupakan tindakan “seumpama Tuhan”. Perubahan dan kemajuan dalam bidang ini tidak dapat diterima oleh sebahagian ahli agama kerana mereka berpendapat ia seperti mencampuri urusan Tuhan.

Islam tidak menghalang sebarang kemajuan yang dilaksanakan umatnya dengan syarat kemajuan tersebut dilaksanakan dengan baik. Selain dari menikmati manfaat dari hidupan lain, semua sumber alam lain haruslah dijaga dan tidak dimusnahkan. Hal ini sepertimana firman Allah SWT

Terjemahan: Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi setelah (diciptakan) dengan baik. Berdoalah kepada-Nya dengan rasa takut dan penuh harap.Sesungguhnya rahmat Allah sangat dekat kepada orang yang berbuat kebaikan. (Al-A’raf, 7: 56)





Di dalam Al-Quran, ditegaskan bahawa Allah SWT sahaja yang berkuasa mencipta dan mengawal segalanya di dunia ini. Semua ciptaan Allah ini merupakan tanda-tanda kewujudan dan kebesaran Allah SWT.


Terjemahan: Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan pergantian malam dan siang terdapat tandatanda (kebesaran Allah) bagi orang yang berakal. (Ali‘Imran, 3: 190)

Kemajuan dalam kejuruteraan genetik ini membuatkan sesetengah orang mendakwa bahawa mereka mempunyai keupayaan memanipulasi benda hidup. Hakikat sebenar dalam Islam telah menegaskan bahawa manusia tidak mampu mencipta walau serangga sekecil lalat walaupun para saintis bekerjasama melakukannya. Mereka tidak mempunyai kuasa untuk melakukannya tanpa izin Allah SWT. Firman Allah SWT:

Terjemahan: Wahai umat manusia, Inilah diberikan satu misal perbandingan, maka dengarlah mengenainya Dengan bersungguh-sungguh. sebenarnya mereka Yang kamu seru dan sembah, Yang lain dari Allah itu, tidak sekali-kali akan dapat mencipta seekor lalat Walaupun mereka berhimpun beramai-ramai untuk membuatnya; dan jika lalat itu mengambil sesuatu dari mereka, mereka tidak dapat mengambilnya balik daripadanya. (Keduaduanya lemah belaka), lemah Yang meminta (dari mendapat hajatnya), dan lemah Yang diminta (daripada menunaikannya). (Al-Hajj, 22: 73)


1 comment: